Bahaya Islamisme di Malaysia
Abdullah Hussin S2101421
Gerakan Islamisme yang berlaku di seluruh dunia Islam berpunca daripada kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah (1924) yang menyaksikan Sultan Abdul Hamid II dibuang negeri. Seluruh empayar Turki Uthmaniah jatuh dan negara-negara di bawah kepimpinannya dilakukan pecah perintah sehingga tidak mampu untuk bersatu sehingga sekarang. Gerakan Islamisme bergerak mengikut negara masing-masing bermula dengan penubuhan Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir oleh Hasan al-Banna seterusnya menjadi aspirasi bagi negara-negara lain untuk menubuhkan gerakan Islam di negara masing-masing. Gerakan ini terus berkembang sehingga tertubuhnya Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia seterusnya lahirnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia.
Definisi Islamisme.
Islamisme1 adalah pemahaman agama (Islam) dalam bentuk sistem sebuah negara, iaitu negara Islam. Kelompok Islamisme telah mengidolakan Islam pada zaman Nabi ﷺ. di Madinah, dan mereka berusaha untuk mengembalikan praktik beragama pada zaman sekarang untuk kembali seperti praktik beragama pada zaman Nabi ﷺ iaitu zaman empat belas abad yang silam.
Agenda utama Islamisme adalah mendirikan sistem negara Islam dan memobilisasi umat Islam dalam rangka membangun tatanan yang disebut sebagai nizam Islami. Fahaman yang mendokong Islam sebagai gerakan yang ingin mengembalikan Islam seperti yang telah dipraktikkan oleh Nabi ﷺ di Madinah. Inilah idea utama dibentuknya gerakan Islamisme. Alasannya bahawa pengamalan Islam yang dianggapnya benar, tidak salah, tidak bisa ditawar, tidak bisa diubah, bisa menyelamatkan, tidak ada unsur Barat, betul-betul dari Tuhan dan tidak dipengaruhi oleh pemikiran manusia.
Sebelum kemunculan wacana pasca Islamisme, Barat menamakan perjuangan gerakan Islam sebagai Islamisme. Aseef Bayat menjelaskan bahawa Islamisme suatu istilah yang digunakan bagi menerangkan arus perkembangan gerakan Islam. Konsep Islamisme ini memfokuskan matlamat perjuangan negara Islam yang bercirikan undang-undang Islam secara menyeluruh (Bayat 2007).
Menurut Ayoob2 dalam artikelnya The Future of Political Islam: The Important of External Variables (2005) mengulas bahawa istilah Islamisme merupakan satu formula yang bertindak sebagai panduan bagi menjelaskan sifat ideologi politik Islam atau skop aktiviti politik yang dijalankan atas nama Islam sebelum dekad 80 an (Ayoob 2005). Maszlee Malik pula menjelaskan definisi Islamisme ini menurut pandangan Barat ialah suatu istilah yang dirujuk kepada wacana kelompok Muslim yang dilabel sebagai radikal atau fundamentalis yang memperjuangkan negara Islam, hukum syariah dan juga kepercayaan bahawa hukum syariah dapat ditegakkan melalui jalan kekuasaan (Maszlee Malik 2016).
Asal-Usul Munculnya Islamisme di Malaysia.
Pada 1940-an kepimpinan agama mula dilihat sebagai turut serta dan memainkan peranan yang agak penting dalam perjuangan politik Tanah Melayu, iaitu dengan munculnya gerakan seperti Majlis Agama Islam Tertinggi (MATA) dan Hizbul Muslimin, yang kemudiannya beralih ke arah penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS).3
Matlamat utama PAS adalah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Usaha-usaha yang dilakukan PAS adalah seperti :
1. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
2. Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
3. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.
4. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.
5. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
Kehadiran dan perkembangan Islamisme di Malaysia.
Di Malaysia, kumpulan Islamis atau gerakan Islam yang memperjuangkan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam (hudud) merujuk kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS). Keazaman dan cita-cita PAS terhadap sebuah negara Islam yang didasarkan kepada Syariah Islam dalam segala aspek terutamanya dari segi perlembagaan dan pentadbiran amatlah tinggi. Namun begitu, PAS tidak mengambil pendekatan radikal dalam pelaksanaan cita-cita tersebut sebagaimana yang diperjuangkan ISIS tetapi memilih jalan demokrasi yang lebih bersifat sederhana (Mohd Izani 2014).
Perkembangan wacana politik baharu yang semakin terbuka telah mengangkat tema demokrasi, keadilan, kebebasan dan good governance yang menjadi keutamaan gerakan Islam di seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Perkembangan ini dikenali dengan pasca Islamisme. Justeru, situasi ini telah mendesak kumpulan Islamis sebagaimana PAS mengubah pendekatan mereka menjadi lebih inklusif dalam memahami realiti politik semasa bagi memenangi hati rakyat (Mohd Izani 2014).
Perkembangan pasca islamisme ini telah melebar luas di negara Islam khususnya di Timur Tengah. Namun perkembangan ini tidak menjadikan PAS terikut dengan mereka. Pas tetap berpegang dengan cita-citanya untuk mendirikan negara Islam, manakala fahaman pasca Islamisme sudah melupakan cita-cita tersebut sebagaimana di sebut oleh Bayat.
Bahaya Islamisme daripada perspektif Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Prof. Ahmad Fauzi Abdul Hamid menerusi Syarahan Umumnya yang bertajuk Islamisme dan Bahananya Cabaran Besar Politik Malaysia Abad Ke-21membawa naratif bahawa Islamisme yang dibawa oleh PAS dan UMNO berakar daripada kumpulan radikal dan ekstrim.
Menurut beliau, PAS mengambil idealogi radikalisme dan jihadisme daripada Abu A`la al-Maududi dan Sayyid Qutb. Manakala kelompok UMNO pula ingin dilihat islamik dengan berlakunya beberapa peristiwa antaranya kemasukan tokoh Salafi ke dalam UMNO seperti Dr Fathul Bari dan lain-lain.
Apa yang cuba digambarkan oleh Prof. Fauzi menerusi syarahan umum yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia ini adalah versi Islamisme yang dibawa oleh PAS dan UMNO adalah bersifat ekstrim dan radikal.
Selain itu, beliau turut menempelak usaha Islamik yang dilakukan oleh UMNO pada zaman Tun Abdullah Badawi iaitu pendekatan Islam Hadhari dengan menyatakan bahawa :
Wacana Islam Hadhari dilitupi wacana konservatisme Islamis yang memomokkan Islam Hadhari sebagai tidak lebih daripada penjelmaan semula ‘Islam liberal’ dalam bentuk yang lebih lunak (Kessler, 2008: 71–76; Ahmad Fauzi & Muhamad Takiyuddin, 2014). Di pihak Islamis jalur pembangkang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (selanjutnya ‘Haji Hadi’), yang secara rasminya mengambil alih tampuk kepimpinan PAS pada tahun 2003, menghukum Islam Hadhari sebagai sebuah ‘agama hibrid’ yang membenarkan percampuran antara unsur Islam dengan unsur bukan Islam, lantas menjerumuskannya ke dalam kancah bidaah atau pembaharuan keagamaan yang tercela (Abdul Hadi, 2005: 24–34, 50, 90, 130, 196).
Disamping itu, Islamisme telah mendekatkan jarak UMNO dan PAS5 dalam era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, dengan peralihan wacana daripada soal sama ada Malaysia perlu menjadi negara Islam, kepada persoalan kaedah dan masa yang sesuai bagi mengisytiharkan secara terbuka kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hakiki (Kessler, 2008:17 63–6)
Sehubungan dengan itu, beliau juga mengatakan bahawa ada sebahagian penceramah PAS yang bersikap takfiri terhadap mereka yang menolak hudud dengan katanya :
Lebih serius lagi, soal penerimaan hudud secara keseluruhannya tanpa kompromi menjadi asas sikap takfiri sesetengah penceramah PAS terhadap mereka yang dianggap menolak hudud. Sikap ekstremis sebahagian aktivis PAS ini hingga terlanjur menyamakan RUU355 sebagai hudud atau setidak-tidaknya mukadimah kepada hudud. Oleh sebab itu, ia digambarkan sebagai tuntutan yang tidak boleh disangkal, malah penolakannya dikatakan membawa risiko kepincangan akidah (cf. Shaharuddin, 2016).
Nasib golongan bukan Islam diketepikan hasil daripada islamisme yang diamalkan oleh UMNO.
Golongan bukan Islam pula merasa semakin diketepikan dengan peralihan wacana perjuangan UMNO daripada ‘ketuanan Melayu’ kepada ‘ketuanan Islam’ (Chin, 2016), yang pada hakikatnya ialah ‘ketuanan Islamis’
Beliau juga mengulas tentang konsep hakimiyyah yang dipegang oleh PAS sebenarnya diceduk daripada pemikiran Maududi yang bercorak ektrimis sehingga terjadinya Peristiwa Memali.
Menurut Ayubi (1991: 140), konsep hakimiyyah merujuk kepada kedaulatan Tuhan yang tidak berbelah bahagi di bumi sebagaimana terzahir melalui undang-undang yang diwahyukan-Nya, yang sinonim dengan Qutb dalam kalangan aktivis Islamis sebenarnya dipinjamnya dari Maududi tetapi diberi aplikasi bercorak ekstremis.
Doktrin Islamisme Maududi-Qutb membawa bahaya radikalisme militan bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada atas dasar ia didirikan di atas kepalsuan (taghut) lantaran fahaman sekularisme yang dibawanya. Radikalisme sebegini menampakkan wajah ngerinya pada November 1985 dalam tragedi berdarah di Memali, Kedah, di mana penduduk kampung yang cuba mempertahankan pemimpin mereka, Ibrahim Libya daripada diberkas pihak berkuasa bertempur dengan pasukan keselamatan, yang berakhir dengan 18 kematian termasuk empat anggota polis
Islamisme yang dibawa oleh PAS membawa kepada amalan takfiri seperti Amanat Haji Hadi yang bersumberkan kefahaman ekstrim al-Maududi dan Syed Qutb. Selain itu, perkara yang mendasari kecenderungan takfiri Amanat Haji Hadi ialah pengaruh karya Abd al-Aziz ibn Baz (1910–1999), mufti Arab Saudi pada tahun 1993–1999 (Abdul Rahman, 1998: 363)
Melampau dalam meletakkan isu sehingga isu-isu syariah dijadikan sebahagian daripada perbahasan akidah, membuka ruang penghukuman takfir ke atas penguasa-penguasa negara Muslim yang membelakangkan undang- undang Islam dalam peraturan bernegara (Mohamad Fauzi, 2007: 58, 102–109, 132–133).
Sebahagian ahli PAS terpengaruh dengan Salafi-Jihadisme sehingga ada dalam kalangan mereka pergi berjuang bersama kumpulan pengganas di Syria dan menjadi pembunuh di sana.
Memandangkan fahaman Salafi-jihadisme berakar kepada kaedah revolusi Sayyid Qutb yang ramai pengkagumnya dalam kalangan para Islamis Malaysia yang terdidik dalam usrah dengan hasil penulisan Qutb, peralihan daripada Islamisme tidak ganas kepada Salafi-jihadisme bukanlah mustahil. Sejak pertengahan tahun 2014, rakyat Malaysia dikejutkan betapa orang Melayu-Muslim yang terkenal berperwatakan lembut kini sedang pergi berjuang bersama kumpulan pengganas di Syria, dengan turut sama menjadi penyerang bunuh diri dan pembunuh kejam kaum yang dituduh murtad (Tan, 2014; El-Muhammady, 2016; Utusan Malaysia, 2016). Golongan jihadis ini memberi ancaman jika dan apabila mereka pulang ke Malaysia dan meneruskan kaedah militan mereka di tanah air dalam apa yang dinamakan oleh penganalisis sebagai kesan hembus balik (Vidino, 2014).
Akhir sekali, Prof Fauzi mengatakan usaha islamisme yang berlaku di negara-negara lain turut membawa imej anti non-Muslim dan mereka gagal menterjemah dakwah bil hal sehingga non-Muslim beranggapan Islam agama yang keras.
Eksperimen Islamisme di negara-negara majoriti Muslim lainnya juga gagal menampilkan imej mesra bukan Islam, sedangkan maslahah dalam berinteraksi dengan rakyat bukan Islam sepatutnya juga menjadi saluran dakwah lisan al- hal kepada mereka. Kegagalan para Islamis untuk menzahirkan akhlak dan sahsiah mulia dalam pentadbiran memberi gambaran buruk tentang Islam itu sendiri sebagai sebuah agama bertamadun. Ia berupa kegagalan merubah ‘negara’ daripada sebuah kuasa paksaan sebagaimana yang kita pelajari dalam ilmu sains politik konvensional kepada sebuah entiti yang menaungi manusia seluruhnya dengan kasih sayang dan rahmat (mawaddah wa rahmah). Sebagaimana dijelaskan dalam syarahan ini, masalah Islamisme ini merentasi aliran pemikiran Islam, dan tidak terhad kepada aliran yang dianggap ‘keras’ seperti Salafi-Wahabi sahaja
Bahaya Islamisme di Malaysia apabila dibentuk dalam sebuah parti politik.
Fahaman Islamisme sewajarnya disambut baik oleh kesemua rakyat tanpa mengira fahaman politik. Fahaman ini perlu bergerak laju merentasi warna bendera dan nama parti. Ianya perlu disambut oleh semua umat Islam di Malaysia. Namun begitu, dalam rencam dakwah, PAS memilih untuk bergerak sebagai sebuah parti politik dan memperjuangkan idealogi ini sudah pasti dilihat membawa kepada beberapa bahaya dan kekurangan. Antaranya :
- Menjadikan agenda islamisme hanya digerakkan oleh sesetengah kelompok sahaja. Sedangkan agenda ini perlu disahut oleh kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik.
Bahayanya adalah agenda islamisme ini hanya digerakkan oleh petugas PAS sahaja, manakala umat Islam daripada parti lain boleh menganggap ianya adalah idea PAS bukan datang daripada syariat itu sendiri.
- Mendapat tentangan daripada parti lawan meskipun parti tersebut juga dianggotai oleh orang Islam. Parti politik yang pelbagai di Malaysia menganggap Islamisme yang dibawa oleh PAS hanya agenda politik PAS sahaja. Dalam kancah politik, mereka yang bertentangan dengan PAS sudah pasti akan menentang dan membangkang agenda Islamisme yang dibawa oleh PAS.
Tidak dinafikan, UMNO yang menerajui kerajaan juga terkesan dengan perkara ini lantas mereka mengambil langkah Islamisasi. Ini dapat kita lihat pada penubuhan agensi kerajaan seperti JAKIM, IKIM, PERKIM, YADIM dan sebagainya yang bertujuan membawa agenda dakwah. Langkah ini diambil oleh Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu untuk melawan secara halus agenda Islamisme yang dibawa oleh PAS.
- Agenda Islamisme tidak dapat diperjuangkan secara global bahkan terhad di negara Malaysia sahaja.
Bergerak sebagai sebuah parti di negara Malaysia pasti akan menghadkan bidang kuasa dan saluran dakwah. PAS hanya dapat bergerak di Malaysia sahaja demi meraih cita-citanya. Meskipun idealogi yang sama dapat dikongsi di negara-negara lain, namun sistem politik di negara lain menjadikan PAS tidak mampu untuk berada dalam arena politik di negara tersebut. Ini menjadikan perjuangan Islamisme secara menyeluruh di peringkat negara hanya terhad di Malaysia sahaja.
Sedangkan apa yang penting adalah mengangkat idealogi ini agar tersebar ke seluruh pelusuk alam sebagaimana ajaran Islam tersebar ke seluruh dunia.
- Sukar untuk membawa idealisme Islam secara menyeluruh, bahkan terpaksa berpakat kuasa dengan parti politik lain. Sejarah di Malaysia, tiada sebuah parti mampu untuk memerintah secara bersendirian, bahkan memerlukan sokongan atau pakatan politik untuk menang dalam pilihanraya. Pakatan politik ini sekaligus terdiri daripada pelbagai aliran pemikiran yang menyukarkan idea daripada sebuah parti untuk memonopoli keputusan politik yang dibuat.
- Agenda Islam dilihat sebagai agenda politik PAS. Contoh Pindaan Rang Undang-Undang 355 mendapat reaksi yang pelbagai dariapda umat Islam. Padahal ianya adalah sebuah pindaan bagi membolehkan mahkamah syariah menjalankan hukum sesuai dengan kehendak syarak bagi kesalahan-kesalahan tertentu sahaja.
Pada 26 Mei 2016, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 di Dewan Rakyat bagi memperkasa dan memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah.4
- Boleh membawa kepada campur tangan asing.
Keberadaan PAS dalam kerajaan sebagai sebuah parti politik Islam boleh membawa kepada campur tangan asing luar negara. Ini kerana pihak-pihak antarabangsa banyak menentang agenda Islamisme bahkan mereka terlebih dahulu mengambil sikap dingin dan media mereka terus memburukkan kelompok Islamisme dengan menggelarkannya sebagai ekstrim, pengganas dan sebagainya.
Kesimpulan.
Agenda untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup telah diterjemah oleh pelbagai gerakan dakwah dan islah. Setiap mereka memilih pendekatan yang berbeza antara satu sama lain, meskipun tujuan yang sama. Ada yang menggunakan pendekatan rumah ke rumah seperti Tabligh, menggunakan pendekatan saluran radio seperti IKIM, daripada jabatan kerajaan seperti YADIM, PERKIM dan lain-lain. Namun sebenarnya pendekatan yang terbaik adalah terlibat dalam politik. Ini kerana dakwah yang dibawa oleh Rasulullah juga menggunakan pendekatan politik terutama apabila Baginda sendiri menjadi ketua negara Islam Madinah.
Islamisme yang dibawa oleh PAS sudah pasti ada kekurangan dan bahaya tertentu, namun pendekatan ini adalah ijtihad para alim ulamak terdahulu dalam memastikan hukum Allah dapat ditegakkan di Malaysia.
Wallahu a`lam.
RUJUKAN
1. Mahmudah S. Islamisme: Kemunculan Dan Perkembangannya Di Indonesia. Aqlam J Islam Plur. 2018;3(1):1-16. doi:10.30984/ajip.v3i1.628
2. Islam FP, Kebangsaan U. ISLAM. Published online 2017:309-320.
3. Muhamad Naim bin Md Taib. INSTITUSI MADRASAH DALAM GERAKAN POLITIK KEPARTIAN DAN PERJUANGAN MENUNTUT KEMERDEKAAN.pdf cut. Univ sains malaysia. Published online 2018.
4. Kenapa Kita Perlu Sokong Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355.pdf. Published online 2016. www.iksim.my
5. Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid. ISLAMISME DAN BAHANANYA Cabaran Besar Politik Malaysia Abad Ke-21.