Tohmahan Orientalis Terhadap
Rasulullah ﷺ
Abdullah Hussin S2101421
Pengenalan
Dalam tradisi perkembangan ilmu, terdapat cendekiawan daripada Barat yang berminat mengkaji berkenaan ilmu dunia Timur dan dikenali sebagai Orientalis. Kaum Orientalis ini mengkaji dunia Timur dan Dunia Islam khususnya berdasarkan sudut pandang Barat.
Kajian Orientalis terhadap Islam tidak terbatas pada satu bidang sahaja, bahkan ia termasuk dalam gagasan ilmu yang menyeluruh dan kajian yang mereka lakukan ditempa dengan semangat apologetik. Setelah mereka puas mengkritik dan menghancurkan Bible, para Orientalis berhasil menjulang pelbagai prestij akademik. Justeru ramai saintis, cendekiawan dan ahli falsafah yang secara berbondong-bondong menyumbangkan karya mereka dalam bidang ini.
Nabi Muhammad ﷺ juga tidak terlepas daripada radar ilmu mereka untuk menggambarkan keburukan Islam. Justeru penulisan kali ini penulis ingin menjelaskan tohmahan dan doktrin jahat yang dilakukan oleh Orientalis terhadap Rasulullah ﷺ.
Mustafa al-Siba’i di dalam kitabnya Al-Istishraq wa al-Mustashriqun: Ma Lahum wa Ma ‘Alayhim, membahagikan motif Orientalis kepada tiga iaitu motif akademik, motif agama dan politik, serta motif kajian ilmiah. Beliau menyatakan bahawa kelompok yang ketiga ini sahaja yang dianggap masih boleh diterima oleh umat Islam, tetapi masih dibelenggu oleh banyak kesilapan yang berpunca daripada kejahilan mereka terhadap laras bahasa Arab dan Islam itu sendiri. Sisi positif terpencil mengenai Orientalisme yang ditonjolkan oleh penulis, tidak dapat mengimbangi hampir keseluruhan buku yang menekankan kepada agenda negatif golongan Orientalis ini (Al-Siba’i 1999)
Maksud Orientalis
“Orientalisme” berasal dari kata-kata Perancis “Orient” yang berarti “timur”. Kata “orientalisme” bererti ilmu-ilmu yang berhubungan dengan dunia timur. Orang-orang yang mempelajari atau mendalami ilmu-ilmu tersebut disebut “orientalis” atau ahli ketimuran.1
Menurut Joesef Sou`yb, orientalisme bererti suatu kefahaman atau aliran, yang berkeinginan menyelidiki hal-hal yang berkaitan dengan bangsa-bangsa di Timur berserta lingkungannya.
Orientalis ialah golongan sarjana-sarjana Barat yang mendalami bahasa–bahasa dunia timur dan kesusasteraannya, dan mereka juga menaruh perhatian besar terhadap agama-agama dunia timur, sejarahnya, adat istiadatnya dan ilmu- ilmunya.
Edward Said sendiri menyatakan bahawa orientalisme sebagai bentuk penggambaran tentang tradisi timur, baik dilakukan oleh para akademik mahupun oleh para seniman. Dalam hal ini, Said menyatakan “Anyone who teaches, writes about, or researches the Orient – and this applies wheather the person is an anthropologist, sociologist, historian, or philologist—eithe in its specisfic or its general aspects, is an Orientalist, and what he or she says does is Orientalism”
Orientalis adalah setiap orang yang mengajar, menulis atau sebagai peneliti tentang ketimuran, hal ini berlaku pada setiap orang baik sebagai seorang antropologi, sosiologi, sejarawan atau pengkaji masalah filologi samada dari aspek umum atau spesifik merupakan seorang orientalis, dan siapa pun orangnya, apa yang dilakukan oleh lelaki mahupun wanita dinamakan sebagai orientalis.
Menurut A. Hanafi, dalam melakukan kajian terhadap dunia timur, kajian para orientalis cenderung berat sebelah dan tidak terlepas dari fanatik agama atau fanatik bangsa sehingga mereka begitu emosional. Oleh kerana itu perbahasan –perbahasan mereka penuh kekeliruan dan bahkan penuh dengan kebohongan yang disengajakan yang menuntut para pembacanya sangat berhati-hati. Bahkan banyak persoalan-persoalan bahasa dan kesusasteraan serta sejarah yang disalahgunakan dari kebenaran. Dalam pembahasan di Encyclopedia of Islam[1] kesalahan-kesalahan mereka lebih menonjol lagi terutama dalam hal-hal yang berhubungan dengan soal-soal keagamaan murni.
Siapakah Muhammad ﷺ
Menurut Ahmad Salaby sebagaimana yang dinaqal dari Ibnu Qayyim bahawa Nabi Muhammad dilahirkan pada tanggal 12 Rabi’ul Awal bertepatan pada tanggal 20 April 571 di suatu tempat yang tidak begitu jauh dari Ka’bah.2
Keadaan masa kecil Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa keluarganya berada dalam situasi sukar. Ketika tiba waktu bagi Abdullah untuk menikah, beliau menikah dengan Aminah binti Wahab, ibu Nabi Muhammad SAW, yang merupakan kerabat saudagar terkemuka daripada Bani Zuhrah.3 Abdullah meninggal ketika Aminah tengah mengandung dan keluarga itu berada dalam kesusahan kerana Abdullah hanya meninggalkan lima ekor unta dan hamba perempuan muda yang bernama Ummu Aiman. Meskipun ia pernah mendengar suara yang mengatakan bahawa dirinya tengah mengandung raja Arab dan menyaksikan cahaya keluar dari perutnya sehingga terlihat istana Basrah di Syria, wilayah yang kemudian menerima Islam. Ini adalah satu berita gembira yang menggambarkan bahawa anak yang bakal lahir nanti akan menyebarkan agama yang benar ke seluruh alam.
Setelah mendapat wahyu pertama di Gua Hira,4 Baginda menyampaikan ajaran Islam kepada kelompok keluarga terdekat kemudian kepada seluruh penduduk di Kota Mekah. Ajarannya mendapat tentangan yang begitu hebat daripada kaumnya dahulu. Betapa hebat tentangan yang diterima, sehingga Baginda wafat masih ada kaum kuffar yang berterusan menentangnya tidak terkecuali Orientalis.
Tohmahan Orientalis Terhadap Baginda ﷺ
Dalam keadaan Rasulullah sebagai insan mulia, ramai daripada musuh agama yang iri hati dan bersikap dingin dengan memberikan tohmahan supaya masyarakat menjauhi dakwah Baginda. Usaha mereka ini umpama mencurah air ke daun keladi, mereka ingin memadamkan cahaya Islam yang dibawa oleh Baginda. Namun Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun dibenci oleh golongan kafir. Allah menyatakan di dalam at-Taubah :
يُرِيدُونَ أَن يُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ
32. Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.
Antara tohmahan para Orientalis terhadap Baginda ﷺ adalah :
- Rasulullah menghidupkan agama syaitan.
Nicetas of Byzantium [842-912] adalah orientalis Kristian yang benci kepada Nabi Muhammad ﷺ. Beliau menyatakan bahawa Muhammad bersungguh-sungguh hendak menghancurkan agama Kristian dengan bantuan kekuatan syaitan.5 Ajaran Islam yang mengajarkan moral dan tauhid hanyalah selubung untuk menghidupkan kembali agama syaitan. Muhammad adalah Nabi palsu dan pelaku dosa yang menyesatkan manusia dengan cara merampas kitab suci dan menjanjikan manusia dengan kehidupan yang mudah, memanjakan manusia dengan kelakuan buruk dan menggunakan kekerasan untuk menundukkan lawannya dalam menerima ajarannya.
Pandangan ini dikuatkan pula oleh Peter The Venerable (1094-1156) yang menyatakan bahawa Muhammad tidak memenuhi kriteria seorang Nabi kerana tidak menunjukkan mukjizat dan ramalan yang tepat sebagai prasyarat seorang Nabi. Menerusi bukunya bertajuk “Diabolical Muhammad” beliau menggambarkan Muhammad dipengaruhi syaitan kerana telah meracuni kaumnya dengan ajaran sesat.5
Tohmahan Nicetas dan Peter menunjukkan kebencian mereka kepada Baginda ﷺ. Ini kerana dakwah Islam yang dibawa Baginda berkembang dengan begitu cepat dan pesat sehingga kaum Kristian pada ketika itu tidak mampu untuk menghalang kemaraan dakwah Islam. Ini dapat dibuktikan menerusi kejatuhan empayar Rom satu persatu sehingga Kota Konstantinopel juga berjaya dibuka oleh kaum Muslimin.
Mereka juga menganggap Nabi Muhammad sebagai syaitan yang dapat menyesatkan manusia dan mengaku dirinya sebagai Nabi yang membawa kitab suci sebagai sumber pedoman bagi kaumnya. Bahkan Thomas of Tuscany [w. 1278] sebagai seorang orientalis Kristian menyatakan bahawa Muhammad merupakan pencuri, pembunuh, binatang berbentuk manusia, penyulap dan anak pertama serta wakil syaitan.
Tuduhan mereka itu nampaknya dipenuhi dengan api kemarahan dan sengketa. Meskipun mereka gagal membawa apa-apa bukti atas dakwaan tersebut, mereka terus berpandangan sedemikian untuk menghasut umat manusia membenci dan menjauhi ajaran yang dibawa oleh Baginda ﷺ.
- Muhammad seorang yang pedofilia
Kegilaan mereka mentohmah Nabi Muhammad ﷺ mencapai tahap klimaks apabila mereka menuduh Baginda seorang yang gila seks dan pedofilia. Mereka dengan segenap tenaga berusaha untuk menelanjangi keperibadian Baginda. Namun tuduhan mereka langsung tidak berasas akhirnya mereka yang ditelanjang kerana kejahatan mereka sendiri.
Mereka terus melakukan tohmahan dusta yang lebih keji terhadap Nabi Muhammad ﷺ dengan tuduhan sebagai ahli sihir, manusia yang mementingkan syahwat, penyeru kepada seks bebas, kekerasan dan kejahatan. Hal ini, ditegaskan oleh R.W. Souther sebagai orientalis bahawa Muhammad yang ditulis oleh cendekiawan Barat pada abad pertengahan jarang sekali yang menyajikan secara jujur dan objektif. Semuanya kajiannya berkisar Muhammad menikahi Khadijah janda kaya, tukang sihir, dan mengamalkan seks bebas.6
Thomas Aquines [1226-1274] menyatakan bahwa Muhammad membawa Islam sebagai agama orang-orang murtad dari Kristian dan ajarannya berisikan syahwat, mencampur adukkan kebenaran dengan dongeng-dongeng lama dan kesesatan.
Irena Handono mendakwa bahawa pernikahan Muhammad ﷺ dengan Aisyah i, adalah antara peristiwa dalam kehidupan Muhammad g yang selalu dijadikan bahan fitnah oleh orang-orang yang membenci Islam. Orang-orang Barat dan kaum sekuler tidak bisa menerima konsep pernikahan awal seperti yang ada dalam sejarah Islam. Bahkan secara berlebihan mereka menyebut Muhammad g sebagai orang yang mengidap penyakit jiwa pedofilia. Alasan mereka karena Muhammad g menikahi gadis yang belum memasuki usia baligh.
Mahmoud Hamdi Zaqzouq7 pula membantah dengan tegas bahawa Muhammad g adalah seorang pengumbar syahwat, sangat tidak mungkin seorang Muhammad g yang pada masa remajanya dikenali sebagai pemuda yang sangat menjaga kehormatan diri. Namun ketika mencapai usia lebih dari setengah abad tiba-tiba berubah menjadi seorang pemuja seks. Padahal, seandainya Baginda mahu, kesempatan untuk mengumbar syahwat dapat dilakukannya sewaktu masih muda dan gagah, sebagaimana banyak dilakukan oleh pemuda-pemuda Quraisy seusianya.
Tuduhan bahawa Nabi sebagai pemuja seks juga semakin tak masuk akal kerana kesemua isteri Baginda yang dinikahi adalah dalam status janda melainkan Saidatina Aisyah i, sahaja yang dikahwini dalam keadaan gadis. Selain itu, beliau menikahinya kerana alasan kemanusiaan yang luhur atau kerana faktor yang berkaitan dengan hukum syariat. Tak seorang pun dari mereka dinikahi karena dorongan nafsu syahwat dan pemuasan seks.
Justeru, tuduhan yang dibawa oleh Orientalis sangat berat dan jauh daripada norma kemanusiaan biasa. Mungkin kerana dalam hati mereka ada penyakit lalu Allah menambah lagi penyakit ke dalam hati mereka. Sebagaimana dinyatakan di dalam al-Baqarah :
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ
10. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
- Muhammad sebagai Penulis al-Quran.
Muhammad Shahib menyatakan bahawa kaum orientalis hampir semua sama menyatakan bahawa Al-Quran adalah ciptaan Muhammad.8 Orientalis seperti Goldziher, Margelot, Carlyle dan lainnya menyatakan bahawa Al- Quran adalah perkataan Muhammad sendiri dan sering diganti dan diubah sesuai dengan situasi dakwah dan keadaan sekeliling.
Carylyle sendiri mengungkap bahawa Muhammad adalah pengarang sebuah kitab Al-Quran yang merupakan coretan-coretan yang kacau dan membosankan. Manakala George Sale (1697-1736) sebagai seorang orientalis Inggeris, menyatakan bahawa Muhammad adalah pengarang Al-Quran itu sendiri.
Segala tuduhan dan tohmahan ini langsung tidak berpijak di bumi nyata, bahkan jauh menyeleweng daripada kebenaran. Ini dibuktikan bahawasanya Rasulullah ﷺ adalah seorang Ummiy[2] iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Bagaimana al-Quran yang sarat dengan i`jaz lughawi ditulis oleh seorang yang tidak tahu menulis dan membaca. Dakwaan mereka itu sebenarnya omongan kosong yang berlalu pergi sebagaimana angin datang menyapa dan berlalu pergi.
Firman Allah di dalam Surah al-Jumuah :
هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ
2. Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.
Kata Imam Ibnu Abbas, Nabi kalian dahulunya seorang ummiy yang tidak menulis, tidak membaca, dan tidak mengira.
Dalam sebuah hadis Baginda ﷺ bersabda :
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ
Maksudnya: Sesungguhnya kita ini umat yang ummiyyah. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira.[3]
Justeru jelaslah kepada kita bahawa Baginda adalah seorang ummiy yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Namun begitu perlu diingat bahawa sifat tersebut adalah kemuliaan dan kelebihan buat Baginda sebagaimana diterangkan oleh Qadhi Iyadh[4] dengan katanya :
“Demikian juga apabila disifatkan bahawa baginda S.A.W merupakan seorang yang ummiy sebagaimana yang Allah sifatkan dirinya maka sifat tersebut merupakan satu kepujian untuk baginda dan merupakan suatu kelebihan yang sabit kepada baginda S.A.W.”
Kesimpulan
Segala tohmahan yang dilemparkan kepada Baginda oleh Orientalis sangat tidak berasas dan setiap tohmahan mereka kering daripada dalil dan bukti. Ini kerana tohmahan yang dilakukan berpunca daripada rasa benci dan meluat terhadap Baginda, bukan berpaksikan mencari kebenaran. Jika para Orientalis benar dalam kajian mereka, nescaya mereka akan menjumpai kebenaran Islam dan pasti mereka pula akan memeluk Islam. Menurut Nash (2005) ada dalam kalangan Orientalis yang mengkaji tentang Islam kemudian mereka memeluk Islam seperti David Urquhart (1805–1877), Wilfrid Scawen Blunt (1840–1922) dan Marmaduke William Pickthall (1875–1936) dan lain-lain.
Justeru, umat Islam mesti bangkit mempertahankan tohmahan dan tuduhan liar ini sebagai bukti kasih dan cinta kepada Baginda Nabi ﷺ. Umat Islam sebolehnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu agama dan ilmu keduniaan supaya dapat membidas tuduhan liar para Orientalis terhadap Baginda ﷺ.
RUJUKAN
1. Hanafi a. Orientalisme Ditinjau Menurut Kacamata Agama ( Quran dan Hadits. Published online 2006:1-28.
2. Nasrah. Nabi Muhammad Sebagai Pemimpin Agama Dan Negara. e-USU Repos. Published online 2005:1-11.
3. Karen Amstrong. Nabi Muhammad Saw Biografi Sang Nabi. Jendela; 2001.
4. Syeikh Shafiyyurahman Al-Mubarakfuri. Sirah Nabawiyah. Pustaka Kauthar; 1997.
5. Alwi Shihab. Membedah Islam Di Barat. Gramedia Pustaka Utama; 2004.
6. Mohd Natsir Mahmud. Orientalisme Al-Qur’an Di Mata Barat. Dina Utama
7. Mahmoud Hamdi Zaqzouq. Islam Dihujat Islam Menjawab Tanggapan Atas Tuduhan Dan Kesalahpahaman. Lentera Hati; 2008.
8. Ahmad Muhammad Jamal. Membuka Tabir Upaya Orientalis Dalam Memalsukan Islam. Diponegoro; 1991.
[1] Merupakan karya terbesar para Orientalis pada tahun 1908 dan diterbitkan dalam beberapa jilid, dimana mereka saling bekerjasama dan saling membantu dalam menerbitkannya. Tiga bahasa digunakan untuk penulisan Ensiklopedia tersebut, iaitu bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman (lihat A. Hanafi, Orientalisme Ditinjau Menurut Kaca mata Agama ( Quran dan Hadis ), (Jakarta: Pustaka al Husna, 1981), hlmn 18
[2] Kata al-Zajjaj: Ummiy adalah seseorang yang mengikut sifat masyarakat Arab yang mana masyarakat Arab kebanyakannya tidak dapat menulis dan tidak tahu membaca. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/194)
[3] Riwayat al-Bukhari (1913)
[4] Al-Syifa Bi Ta’rif Huquq al-Musthafa (2/249)